Bekas MB Terengganu, Ahmad Said Dapat Gelaran “Doktor”

Sebut sahaja nama Dato’ Seri Ahmad Said rata-rata rakyat Terengganu khususnya mengenali siapa beliau.

Dato’ Seri Ahmad Said adalah Menteri Besar ke-13 dari Terengganu sejak 2008 hingga 12 Mei 2014. Beliau kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional(BN), Kijal, Terengganu.

Beliau dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu oleh Sultan Mizan Zainal Abidin pada 22 Mac 2008. Perlantikan itu pada awalnya tidak dipersetujui pimpinan UMNO yang sebaliknya menyokong Dato’ Seri Idris bin Jusoh.

Dato’ Seri Ahmad Bin Said merupakan anak bongsu kepada pasangan Said Bin Mohamad dan Wook Binti Ali. Beliau dilahirkan pada tanggal 15 Februari 1957 di Teluk Kalung, Kemaman, Terengganu. Beliau dilahirkan daripada keluarga yang hidup susah. Bapa beliau hanya bekerja sebagai nelayan dan juga dikenali sebagai Tok Nyandat iaitu penyandat nira kelapa bagi menyara kehidupan keluarga.

Walaupun hidup susah, ianya tidak mematahkan semangat beliau untuk belajar. Sejak kecil, selain suka membaca, beliau juga serasi dengan kehidupan sebagai seorang budak kampung ‘Kampung Boy’.

Sejak kecil lagi, Ahmad memiliki sikap seorang pejuang. Sikap tidak mudah mengalah dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang diimpikan. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang berani dan tidak mudah mengalah. Beliau juga seorang yang amat mementingkan disiplin dan tidak boleh berkompromi dengan orang yang tidak berdisplin. Malah beliau turut dikenali sebagai seorang yang telus, berterus terang dan tidak suka orang yang berbohong.

Pengalaman hidup yang penuh mencabar banyak membantu membina jati diri Ahmad Said sebagai seorang insan yang amat prihatin terhadap nasib anak bangsa.

Setelah tamat belajar di Tingkatan Enam(STPM), beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Jurusan Sains Politik di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian).

Terbaru, Mantan Menteri Besar Terengganu ini mendapat anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan dan Pentadbiran) dari University College Bestari.

Penganugerahan itu telah membawa gelaran “Doktor” kepada beliau. Pengerusi Lembaga Pengelola UCB, Profesor Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor berkata, penyampaian ijazah kehormat kepada bekas Menteri Besar Terengganu itu menjadi sejarah baharu sempena majlis konvokesyen.

“Senat universiti bersetuju menyampaikan anugerah ini kepada bekas Menteri Besar Terengganu yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berdasarkan kecemerlangan bidang pengurusan dan pentadbiran ketika beliau menjadi ketua kerajaan Terengganu.

“Kecaknaan beliau terhadap kebajikan anak-anak yatim di negeri ini dan di seluruh Malaysia serta bantuan bagi menjayakan wakaf UCB serta kerjasama yang baik diberikan bagi memartabatkan UCB sebagai sebuah universiti di Terengganu melayakkan beliau menerima anugerah itu,” katanya.

Ahmad Said menerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen Universiti College Bestari (UCB) kali ke-6 yang berlangsung pada 12 Oktober 2019 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI).

Menerusi laman facebook rasmi milik University College Bestari, mereka turut memuatnaik foto Dato’ Seri Dr. Haji Ahmad bin Said menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan dan Pentadbiran).

Tahniah diucapkan kepada YB Dato’ Seri Dr. Haji Ahmad bin Said di atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan dan Pentadbiran) dari UC Bestari. Semoga terus berbakti kepada rakyat dan negara ini. Kami memerlukan pemimpin seperti Dato’ Seri Dr. Haji Ahmad bin Said dalam memperjuangkan nasib rakyat di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Jangan Copy Paste!